Media & Events

Aplikasi Posmen Pintar Dilancar Ogos Ini - Jailani

20 Jul 2016, BERNAMA
KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) -- Aplikasi "Posmen Pintar" yang akan dilancarkan Ogos ini akan digunakan oleh posmen bagi mengumpul data termasuk mengenai keadaan infrastruktur kawasan yang dilalui untuk makluman pihak berkaitan.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari berkata melalui aplikasi itu, posmen akan merekod data yang diperolehi sepanjang laluan yang digunakan semasa proses penghantaran dan data itu boleh digunakan untuk penambahbaikan infrastruktur kawasan terlibat.

"Contohnya, jika kawasan dalam laluan penghantaran itu mempunyai jalan yang tidak berturap, maka posmen akan merekodkan masalah itu dalam aplikasi tersebut.

"Data akan dikumpul dan ia boleh dijadikan sebagai bancian atau informasi kepada pihak tertentu dalam menambah baik keperluan masyarakat di kawasan yang terlibat," katanya kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Pos Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata ujian perintis aplikasi itu dilakukan di dua kawasan iaitu Kota Belud, Sabah dan Lundu, Sarawak untuk mengukur keberkesanan isyarat telekomunikasi tanpa wayar terutama di kawasan luar bandar bagi keperluan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM).

"Daripada pengumpulan data tersebut, SKMM dapat maklumat kawasan mana mempunyai isyarat internet yang lemah dan daripada maklumat itu mereka mencari jalan meningkatkan telekomunikasi tanpa wayar dan internet di kawasan terlibat," katanya.

Dalam perkembangan lain, Pos Malaysia akan membuka tujuh kaunter perkhidmatan pengeposan di beberapa buah hotel di Madinah dan Mekah antaranya di Al Wafideen, Rawdhat Al Shouroq, Manar Al Shouroq dan Qasr Al Janadiriyah.

"Kaunter itu akan beroperasi bermula 3 Ogos hingga 21 Okt ini selama tujuh hari seminggu dan akan ditutup selama lima hari pada Hari Wukuf iaitu dari 11 hingga 15 Sept," katanya.
Share this article
Follow