Media & Events

Jambori Pengakap Beri Peluang Pelajar OKU Bina Jati Diri

19 Sep 2016, BERNAMA

Peserta Jambori Pengakap Asean ke-5 Kategori Kelainan Upaya dari Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Besut Dzulshahmi Dzulkarnain, 10, menggunakan bahasa isyarat sewaktu ditemuramah Bernama di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail
KUALA NERUS, 19 Sept (Bernama) -- Buat seorang OKU seperti Dzulshahmi Dzulkarnain, perhimpunan seperti Jambori Pengakap memberi peluang untuknya melatih diri agar lebih berdikari dan membina jati diri lebih utuh.

Dzulshahmi, 10, salah seorang peserta Orang Kurang Upaya di Jambori Pengakap ASEAN kali ke-5 yang diadakan di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail, dekat sini.

Dzulshahmi, pelajar OKU dari Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Besut, yang mengalami masalah pertuturan dan pendengaran berkata jambori tersebut memberi peluang untuk mengenal dunia luar dan menceburi aktiviti lasak.

"Saya suka dapat menyertai jambori ini, dapat berkumpul ramai-ramai dengan kawan baharu...sebelum ni tak ada kawan dari negara lain; tapi di sini saya dapat kawan-kawan baharu dari negara lain.

"Saya dapat tahu budaya mereka, semalam saya tengok persembahan yang diadakan ada yang menari dan menyanyi, memang saya suka sangat.

"Saya suka aktiviti lasak seperti 'wall climbing' dan 'flying fox' sebab sebelum ni tak pernah ada peluang macam ni, di sini saya dapat lakukan aktiviti seperti ini seperti kawan-kawan yang lain," katanya kepada Bernama, dengan bantuan guru pengiringnya, Nurhafizah Abdul Ghani.

Nur Asnaira Zamhuri, 11, dari Kampung Pelong yang mengalami masalah pendengaran berkata meskipun mempunyai kekurangan dan tidak sempurna seperti peserta yang lain, beliau dan rakan-rakannya tidak dipinggirkan malah mereka turut melakukan pelbagai aktiviti seperti peserta lain.

"Saya rasa lebih berkeyakinan dan dapat mengikis perasaan malu, walaupun saya tak dapat nak bertutur dan mendengar dengan baik dan ada kawan-kawan saya yang langsung tak dapat mendengar dan bercakap, tapi kami tetap dapat peluang menyertai semua aktiviti yang diadakan di sini.


Ketua Pengakap Malaysia Tan Sri Dr Shafie Mohd Salleh bersama sebahagian anggota pengakap dari negara ASEAN
"Saya suka aktiviti memasak, semalam saya belajar masak ayam dan masa aktiviti masakan tradisional antarabangsa, saya berpeluang makan makanan dari negara lain seperti kuih onde-onde dari Indonesia," katanya yang menggunakan bantuan alat pendengaran.

Bagi Norliyana Mohd Sabri yang juga mengalami masalah pendengaran berkata menerusi jambori tersebut juga memberi peluang untuknya lebih bersedia untuk menghadapi cabaran di dunia luar.

"Selalunya kami hanya ada aktiviti di sekolah yang mana terdiri daripada golongan OKU sahaja tetapi di sini kami dapat bercampur dengan remaja lain yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.

"Banyak juga ilmu yang dapat saya pelajari di sini, saya dilatih untuk lebih berdisiplin, menepati masa dan mementingkan semangat kerja berkumpulan dalam apa juga aktiviti yang dijalankan," katanya.

Sementara itu, Nurhafizah berkata jambori tersebut juga dapat dijadikan platform untuk pelajar dan peserta pengakap OKU membina keyakinan diri dan memberi pelbagai pendedahan untuk golongan tersebut.

"Sebenarnya, golongan OKU ini adalah golongan yang pemalu dan adakalanya keyakinan diri mereka itu kurang, tetapi menerusi aktiviti yang dijalankan melalui jambori ini sekurang-kurangnya dapat memberi peluang kepada mereka untuk lebih berdikari dan lebih yakin.

"Selama ini mungkin aktiviti mereka terhad hanya dalam kelas dan di asrama sahaja, tetapi kali ini mereka juga sama seperti peserta lain, menjalankan kesemua aktiviti yang diwajibkan," katanya.

Jambori yang berlangsung selama enam hari bermula Khamis lalu itu dianjurkan Majlis Pengakap Negeri Terengganu dan Persekutuan Pengakap Malaysia dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Jambori tersebut menghimpunkan seramai 10,134 ahli pengakap dari negara-negara ASEAN.
Share this article
Follow