Media & Events

KL CONVERGE: Peserta Lawat Pulau Carey Tinjau Komunikasi Luar Bandar

18 Sep 2014, bernama
KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) -- Para peserta KL Converge 2014 pada Khamis berkunjung ke Pulau Carey untuk melihat dengan lebih dekat lagi inisiatif komunikasi yang dilaksanakan Malaysia di kawasan luar bandar.

Lawatan pada hari kedua persidangan itu dianjurkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan diketuai oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, tempat persidangan dan pameran itu pula beberapa siri acara telah diatur antaranya ialah sesi bersama pengarah filem Hollywood Roger Christian dan Namit Malhotra yang terlibat di dalam penghasilan kesan khas untuk filem seperti "Transformers".

Terdapat juga sesi perbincangan seperti penyediaan kandungan multimedia berkenaan Malaysia untuk pasaran antarabangsa dan pembiayaan bagi industri kreatif.

Sementara itu, para peserta cabaran mencipta aplikasi mobil dalam tempoh 24 jam mempunyai masa sehingga pukul 2 petang ini untuk menyelesaikan cabaran mereka bagi merebut peluang memenangi hadiah yang berjumlah AS$15,000.

Persidangan tiga hari pelbagai-platform KL Converge 2014 itu telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

KL Converge dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).
Share this article
Follow