Media & Events

'Klik Dengan Bijak' Skmm Tembus Sempadan Asia

06 Oct 2016, BERNAMA
KUALA TERENGGANU (Bernama) -- Pasukan pengakap banyak membantu dan membimbing setiap anggotanya dari segi fizikal, mental dan sahsiah diri menerusi aktiviti luar dan kemahiran hidup.

Jambori Pengakap Asean, yang pertama kali Malaysia menjadi tuan rumah, mengingatkan anggota pengakap bahawa mereka perlu peka dengan cabaran mendatang terutama dalam menghadapi dunia digital masa kini.

Lebih 10,134 pengakap dari sembilan negara berkampung di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail di Kuala Nerus selama lima hari bermula 15 hingga 20 Sept 2016. Tema 'Kepelbagaian Kebudayaan dan Warisan' dipilih sebagai tema acara yang turut mengumpulkan peserta dari Brunei, Thailand, Indonesia, Korea, Sri Lanka, India, Filipina dan Vietnam.

Menariknya jambori kali ini adalah pengenalan kali pertama modul kepimpinan digital untuk membimbing generasi muda menjadi lebih peka dalam penggunaan internet.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) diberi kepercayaan penuh mengendali modul ini hasil kejayaan program-program literasi digital kelolaan mereka pada kem-kem pengakap yang terdahulu.

KERJASAMA ERAT

Kerjasama SKMM dan Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) bukanlah sesuatu yang baharu. Penganjuran bersama beberapa siri program Klik Dengan Bijak kini diangkat ke tahap baharu dengan penglibatan dalam jambori antarabangsa.

Daripada tujuh sektor wajib yang perlu dihadiri para peserta untuk mendapatkan lencana khas, satu daripadanya iaitu 'KDB - Kepimpinan Digital Pengakap' dikendalikan SKMM.

Enam sektor lain ialah permainan tradisional, 'hand craft and pioneering project', makanan tradisi, muzik dan seni tradisi, sukan ekstrem dan perkampungan Asean.

"Pemupukan aspek literasi digital dalam kalangan anggota pengakap adalah selari dengan matlamat kawal selia SKMM untuk mengawal selia kandungan internet melalui promosi kawalan kendiri dan pendidikan awam," kata Zulkarnain Mohd Yasin, Ketua Pegawai Keselamatan Rangkaian dan Penguatkuasaan SKMM.

Beliau turut menjelaskan bahawa keanggotaan pengakap yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur, jantina dan merangkumi semua bangsa di Malaysia menjadikan ia sebagai golongan sasar yang tepat untuk program KDB.

Kerjasama ini turut memberi manfaat kepada PPM dengan peningkatan imej, menunjukkan persekutuan itu bergerak mengikut arus semasa dalam menyiapkan anggotanya dengan pengetahuan perlu seiring dengan kemajuan teknologi dan multimedia.

LATIH KAWAL DIRI

Ketua Pengakap Negara, Tan Sri Datuk Paduka Dr Shafie Mohd Salleh dalam sidang media khas bersama Bernama berkata, penglibatan SKMM dalam jambori kali ini memainkan peranan penting melui mesej 'klik dengan bijak'nya.

"Dengan penyertaan ribuan orang, mesej yang disalurkan melalui aktiviti kelolaan SKMM akan melatih anggota pengakap untuk mengawal diri dari segi kepimpinan, serta mengawal diri dalam segala aspek kehidupan"

"Program seumpama KDB juga adalah satu suntikan elemen baharu yang tidak pernah dibuat di negara lain. Di Malaysia, kita mulakannya," ulas Shafie.

Kerjasama strategik ini, menurut Shafie adalah satu ramuan yang amat tepat di mana PPM mempunyai kemampuan untuk menyedia 'hardware' seperti tempat program dan peserta program dan kehadiran SKMM pula datang dengan pengisian 'software' melalui pengetahuan yang dikongsikan.

Bagi Shafie, hubungan ini juga membolehkan PPM lebih memahami kehendak anggota-anggota pengakap hari ini yang rata-ratanya datang dari generasi Y dan Z.

PERSIAPAN RAPI

Menghadapi khalayak sebesar ini merupakan pengalaman kali pertama buat SKMM. Cabaran terbesar adalah untuk mengawal aliran peserta agar tiada yang tertinggal kerana ia akan mencacatkan peluang peserta mendapat lencana khas jambori.

"Mengawal aliran peserta, menjalankan program mengikut jadual serta memastikan semua semua buku program peserta dicop adalah tiga perkara yang saling berkait. Selain 50 pegawai SKMM dari seluruh negara yang 'turun padang', kami amat berterima kasih dengan bantuan yang disediakan PPM melalui anggota-anggota pengakap bertaraf kelana," kata Ketua Jabatan Pelaksanaan Jangkauan SKMM, K Juslly Ellis.

Tambah Juslly, lima aktiviti dijalankan dalam sektor kelolaan SKMM. Pertama adalah 'KDB Talk' yang merupakan sesi taklimat yang menerapkan nilai-nilai pemimpin yang menggunakan teknologi digital dengan selamat.

Tiga elemen utama yang ditekankan dalam aktiviti ini adalah faktor keselamatan, kewaspadaan dan tanggungjawab dalam mengguna internet, terutamanya bila menggunakan media sosial.

Aktiviti lain yang dijalankan ialah permainan 'explorace' KDB Cyber Challenge, pengenalan kepada dunia robotik dan elemen 'Internet of Things' (IoT), KDB Innovation, pendedahan tentang industri kreatif melalui KDB Creative dan KDB Syok yang merupakan kuiz dalam talian.

PELAN JANGKA PANJANG

Menjawab soalan Bernama, Zulkarnain berkata peluang ini digunakan sebaiknya oleh SKMM untuk mempromosi modul KDB ke negara lain.

"Isu salah guna internet dan media sosial adalah satu isu bersifat 'trans boarder'. Kita sudi berkongsi kepakaran kita dalam aspek 'digital literacy' dengan mana-mana pihak yang berminat," jelas beliau.

Di peringkat tempatan, SKMM sedang merencana untuk menjalin kerjasama lebih erat dengan PPM agar modul-modul KDB dapat diguna pakai oleh pergerakan pengakap di seluruh negara.

Justeru, peluang mengumpulkan warga SKMM dan pemimpin PPM seluruh negara di jambori ini digunakan sebaiknya untuk membina jaringan kerjasama antara kedua-dua organisasi.

"Kita harap dengan pertemuan ini, kerjasama dapat dijalankan antara pejabat-pejabat wilayah SKMM dengan pasukan-pasukan pengakap berhampiran untuk pelaksanaan modul KDB di tempat masing-masing. Ini adalah harapan kami untuk kelestarian jangka panjang KDB," ulas Zulkarnain.

Untuk rekod, SKMM mempunyai 15 pejabat di seluruh negara di peringkat wilayah, negeri dan cawangan.
Share this article
Follow