Namun, pada masa yang sama pengguna Internet termasuk di negara ini berdepan dengan pelbagai ancaman siber yang mampu mengundang padah jika ia tidak dipantau atau ditangani segera. Antara ancaman yang mampu mencetuskan kesan kepada para penggunanya adalah pelbagai jenis virus, malware, penipuan perbankan dan lain-lain penipuan atas talian yang berlaku di Internet sehingga ia boleh menyebabkan kerugian jutaan ringgit.
 

Sehubungan itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebagai agensi kerajaan yang bertanggungjawab menangani masalah itu sentiasa peka dengan perkembangan yang berlaku. Malah, bagi menangani lebih dekat bermacam-macam jenis ancaman siber yang telah berlaku MCMC telah menubuhkan Pusat Keselamatan Rangkaian (Network Security Centre atau NSC) agar masalah yang timbul dapat dibendung dan ditangani.
 

Menurut Ketua Jabatan Pengawasan Rangkaian MCMC, Hairul Anuar Mat Nor, MCMC NSC yang ditubuhkan adalah bagi menjalankan aktiviti pemantauan berkaitan keselamatan rangkaian Internet dari semasa ke semasa.

“MCMC NSC yang ditubuhkan adalah bagi menjalankan aktiviti pemantauan ke atas tahap keselamatan keseluruhan rangkaian Internet di negara ini dengan kerjasama sektor awam dan swasta,” katanya.
 

Objektif

Peruntukan penubuhan pusat seumpama itu terdapat dalam Seksyen 3(2) Akta Komunikasi dan Multimedia demi menjaga kepentingan para pengguna Internet di negara ini agar lebih terjamin. Ia misalnya, sebagai salah satu objektif dasar negara bagi memastikan keselamatan maklumat, kebolehpercayaan dan integriti rangkaian dalam industri komunikasi dan multimedia.
 

Dengan adanya MCMC NSC, ia mampu menjadi pusat rujukan yang mempromosikan keselamatan untuk mewujudkan persekitaran yang selamat dan terjamin dalam kalangan penggunanya. Malah, dengan adanya pusat seumpama itu, ia juga akan meningkatkan tahap keyakinan para pengguna terhadap kualiti perkhidmatan melalui pelbagai program yang dijalankan oleh MCMC NSC.
 

MCMC NSC telah bekerjasama dengan lebih 20 penyelia perkhidmatan Internet (ISP) di seluruh negara agar para pengguna perkhidmatan terbabit dapat dibantu apabila timbulnya sebarang masalah. Antara ISP yang menjalin hubungan erat dengan MCMC NSC adalah Telekom Malaysia, Celcom, Maxis, DiGi, NTT MSC dan TIME.
 

Jelas Hairul Anuar, MCMC NSC sentiasa peka dengan perkembangan yang berlaku dalam perkhidmatan Internet dan bersiap sedia termasuk mengadakan pelbagai latihan sebagai langkah mempertingkatkan tahap kecekapan dalam bidang keselamatan rangkaian Internet.
 

“Simulasi serangan siber dapat mengukur tahap keupayaan ISP dalam menangani serangan, sekali gus meningkatkan kecekapan melalui tindakan berkoordinasi bersama MCMC,” ujarnya.
 

Dalam konteks ini, MCMC telah melakukan pemantauan melalui pelbagai cara termasuk membangunkan sistem MaduNet yang mengumpulkan maklumat berkaitan serangan-serangan siber (terutamanya Malware). Melalui kaedah pemasangan MaduNet di tempat-tempat strategik, setiap serangan Malware yang mensasarkan sesuatu sistem rangkaian akan dapat dikenal pasti, sekali gus membolehkan amaran awal disalurkan kepada pengendali rangkaian tersebut untuk mengambil tindakan lanjut bagi membendung serangan tersebut.
 

Kesedaran

Kata Hairul Anuar, MCMC telah menjalankan pelbagai program kesedaran mengenai ancaman siber bersama agensi-agensi kerajaan dan swasta bagi membolehkan mereka mendapatkan maklumat mengenai jenis-jenis serangan terkini agar ia dapat digunakan dalam usaha mengekang ancaman siber daripada terus berleluasa.
 

Dengan adanya MCMC NSC, pusat ini dapat membantu pengguna Internet menangani ancaman siber terutamanya yang membabitkan penyalahgunaan sistem rangkaian seperti pencacatan laman sesawang dan phishing.
 

“MCMC NSC juga membantu agensi-agensi kerajaan menjalankan aktiviti mengesan kelemahan sistem dan mengenal pasti serangan siber serta memberikan cadangan bagi memulihkan masalah tersebut,” katanya.
 

Bukan setakat menangani isu-isu ancaman siber di negara ini tetapi MCMC melalui MCMC NSC turut bekerjasama dengan pelbagai pihak. Misalnya, dalam kalangan negara ASEAN, Jepun dan China melalui perkongsian maklumat, pembangunan pelan tindakan serta pembentukan dasar yang mampu memberi manfaat kepada pengguna teknologi di rantau ini.