Media & Events

Malaysia mampu lahir pembangun aplikasi bertaraf global

22 Sep 2016, BERITA HARIAN


KETUA Pegawai Perhubungan, Perkhidmatan dan Piawaian Sektor Digital Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus (tengah) beramah mesra dengan sekumpulan pelajar dari MARA Professional College of Beranang semasa Hari Pembangun Malaysia (#MYDD) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad


KUALA LUMPUR: Malaysia memiliki bakat pembangun aplikasi digital yang berpotensi untuk dikembangkan, sekali gus dilihat mampu menyaingi syarikat bertaraf global di peringkat lebih tinggi. Ketua Pegawai Sektor Komunikasi dan Ekosistem Digital‎ Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus, berkata bagi melahirkan lebih ramai pembangun aplikasi tempatan, pihaknya bersedia untuk membantu termasuk merujuk kepada agensi berkaitan. "Malaysia ada bakat berpotensi. Cuma ia mungkin sekadar idea dan perlu dikupas bagi melahirkan pembangun aplikasi yang mana produk yang dihasilkan mampu dikormesialkan.

"Bagi memastikan bakat yang kita ada dapat dikembangkan, SKMM bersedia membantu termasuk membawa mereka kepada pihak berkepentingan lain termasuk (MDEC)," katanya. Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan ucapan sempena ‎Hari Pembangun Aplikasi Malaysia (MyDD) 2016 di sini, hari ini. Yang turut hadir, Pengarah Eksekutif Hubungan Luar dan Dalaman AT&T Inc, Jake E Jennings dan Timbalan Ketua Misi Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur, Edgar Kagen. Mengenai MyDD, Mohd Ali berkata, SKMM menjangkakan 30 aplikasi bakal dibangunkan oleh lebih 100 peserta pertandingan membangunkan aplikasi dalam tempoh 24 jam berakhir jam 4 petang hari ini. "Kita sudah anjurkan MyDD sejak tiga tahun lalu. Sehingga kini peserta yang menyertai pertandingan ini sudah membangunkan kira-kita 100 aplikasi dalam pelbagai kategori," katanya.

Info: Hari Pembangun Aplikasi Malaysia (MyDD) 2016
* Anjuran SKMM dan AT&T Inc
* Ia diadakan sempena KL Converge bagi menggalakkan penginovasi dan usahawan menghasilkan aplikasi Internet Untuk Kebendaan (IoT)
* 335 peserta bersaing menghasilkan aplikasi * Tawar hadiah tunai AS$13,000, biasiswa bernilai AS$10,000 * Disertai 128 peserta yang menghasilkan 18 idea aplikasi baharu pada 2015
* Peserta bersaing dalam pertandingan untuk menghasilkan aplikasi dalam tempoh 24 jam menerusi tiga kategori - bandar pintar; komuniti; dan gaya hidup.'

Share this article
Follow