Media & Events

P1M bantu usahawan luar bandar promosi produk

11 Aug 2016, BERITA HARIAN
ROMPIN: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan membina sebuah lagi Pusat Internet 1Malaysia (P1M) di Felda Keratong 6, dekat sini yang dijangka siap hujung tahun ini. 


Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari (kiri) beramah mesra dengan murid-murid yang menggunakan pusat internet ketika merasmikan Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) Bukit Ibam, hari ini.PI1M memberi kemudahan kepada penduduk kawasan Bukit Ibam yang terletak di pedalaman, melayari internet yang menjadi kepentingan masa kini antaranya untuk pembelajaran, perniagaan dan perhubungan. - Foto BERNAMA


Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari, berkata ia sekali gus menjadikan daerah ini mempunyai 1M dengan pusat yang terbaharu sekali siap dan beroperasi di Bukit Ibam, di sini."P1M Bukit Ibam mula beroperasi pada 23 Mei lalu dan memudahkan 3,000 penduduk kampung Bukit Ibam dan kampung sekitar termasuk masyarakat Orang Asli. Ini adalah bukti kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa mengotakan janji kerana perkara ini disentuh pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin dahulu.

"Malah, saya difahamkan sudah ada tiga usahawan di daerah ini yang menggunakan internet di P1M untuk memasarkan produk iaitu bakeri, kraftangan dan kuih-muih tradisional. "Ia sejajar dengan inisiatif kerajaan membina pusat internet ini bagi membantu masyarakat tempatan mempromosikan produk, rumah inap desa dan kawasan pelancongan dalam media sosial seterusnya dapat meningkatkan tahap ekonomi masing-masing," katanya selepas merasmikan P1M Bukit Ibam di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri Datuk Shahaniza Shamsuddin, Anggota Parlimen Rompin Datuk Hasan Arifin, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Ibam Datuk Wan Kadri Wan Mahussin dan ADUN Muadzam Shah Datuk Seri Maznah Mazlan. Jailani juga berkata, SKMM sudah dan sedang menyiapkan 37 menara pemancar komunikasi termasuk 12 menara sekitar Bukit Ibam dan bandar Muadzam Shah, di sini bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan telekomunikasi di daerah berkenaan.
Share this article
Follow