Media & Events

Pusat Internet 1Malaysia Pastikan Penduduk Linggi Terhubung

15 Mar 2015, bernama
LINGGI, 15 Mac (Bernama) -- Penduduk di Mukim Linggi, Port Dickson kini dapat menikmati kemudahan jalur lebar dengan terbinanya Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) yang dijayakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
 
PI1M dilaksanakan oleh MCMC di bawah Program Pemberi Perkhidmatan Sejagat atau lebih dikenali sebagai USP. Fokus PI1M adalah untuk memberi perkhidmatan capaian internet secara kolektif kepada masyarakat setempat di kawasan yang kurang liputan perkhidmatan.
 
PI1M di Mukim Linggi merupakan pusat yang pertama dibangunkan di daerah Port Dickson. Jumlah keseluruhan PI1M yang telah dibangunkan di Negeri Sembilan ialah 28 pusat setakat 15 Februari 2015. MCMC akan terus memantau pusat yang masih dalam pembinaan untuk memastikan rakyat Malaysia di kawasan luar bandar terhubung dengan kemudahan jalur lebar. 
 
Kewujudan PI1M membolehkan masyarakat luar bandar memperoleh kemudahan yang sama taraf seperti di bandar. Ini kerana PI1M dilengkapi dengan sambungan internet jalur lebar berkelajuan sekurang-kurangnya 4 megabit sesaat (Mbps) dan perkakasan IT yang terkini. PI1M menyediakan akses kepada komuniti luar bandar dengan memberi pendedahan teknologi ICT kepada penduduk luar bandar dan seterusnya dapat membantu mereka untuk memanfaatkan kemudahan internet untuk meningkatkan taraf hidup mereka.
 
Majlis pelancaran tersebut dirasmikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Haji Muhammad bin Haji Hasan. Ketua Pegawai Pembangunan Industri MCMC, Dato' Mohd Ali Hanafiah juga turut hadir bersama-sama wakil-wakil dari MCMC dan Jabatan Kerajaan peringkat negeri dan daerah, syarikat perkhidmatan komunikasi, ketua-ketua kampung, JKKK dan komuniti setempat dari Mukim Linggi.   

Share this article
Follow