Media & Events

MCMC Ambil Tindakan Tegas Terhadap Individu-Individu Salahguna Media Sosial

29 Jan 2016
CYBERJAYA, 29 Januari 2016 --- Tiga serbuan berasingan telah dijalankan di Kuala Lumpur, Cheras dan Bangi baru-baru ini oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan aduan-aduan orang awam yang diterima melibatkan penyalahgunaan perkhidmatan komunikasi dan media sosial. Ketiga-tiga suspek disyaki telah memuatnaik kandungan yang jelik sifatnya.

Dalam ketiga-tiga operasi yang telah dijalankan, beberapa kelengkapan komunikasi milik suspek seperti komputer riba, telefon bimbit dan kad sim yang digunakan untuk memuatnaik kandungan yang disiasat telah disita untuk membantu siasatan dan rakaman percakapan suspek-suspek juga telah diambil.

MCMC juga telah menghalang penggunaan beberapa laman sesawang dan blog yang memuatkan kandungan-kandungan serupa. Pihak MCMC memandang serius penyalahgunaan perkhidmatan komunikasi dan media sosial dan ingin mengingatkan orang ramai bahawa adalah menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 untuk memuatnaik apa bentuk komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain.

Sekiranya disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau hukuman penjara tidak melebihi satu (1) tahun atau kedua-duanya sekali. Sebarang aduan mengenai penyalahgunaan media sosial boleh diajukan kepada e-mel aduan MCMC di [email protected] .
Share this article
Follow