Media & Events

MCMC Dan JKDM Mengambil Maklum Keputusan Kerajaan Untuk Laksana Sistem GST Atas Prabayar Berasaskan Penggunaan

15 May 2015
CYBERJAYA, Jumaat, 15 Mei - Suruhanjaya Komunikasi dan Mutimedia Malaysia (MCMC) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengambil maklum pengumuman Yang Berhormat Menteri, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek baru-baru ini mengenai keputusan kerajaan yang menetapkan bahawa GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) atas prabayar hanya akan dicaj semasa penggunaan sahaja; sebagai contoh, ketika membuat panggilan, menghantar pesanan ringkas atau melanggan jalur lebar. Ini bermakna kad tambah nilai prabayar telefon dijual pada harga RM10 akan mendapat nilai yang sama apabila diaktifkan.

“Pihak MCMC akan bekerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk memastikan pelaksanaan sistem GST berasaskan penggunaan berjaya dilaksanakan dalam tempoh enam bulan oleh syarikat telekomunikasi yang terlibat seperti yang diarahkan oleh kerajaan. Selain itu, pengauditan juga akan dilakukan bagi memastikan ketepatan nilai potongan GST berdasarkan nilai kredit yang telah digunakan,’’ kata Pengerusi MCMC, Dato’ Sri Dr. Halim Shafie.

Mengenai saranan Menteri supaya syarikat-syarikat telekomunikasi memperkenalkan diskaun untuk kumpulan sasar tertentu; sebagai contoh, golongan pelajar, perkara ini akan dipantau dari segi pelaksanaannya.

“JKDM akan mempergiat pemantauan ke atas pembangunan proses penukaran GST berasaskan penggunaan untuk tambah nilai prabayar agar pelaksanaan sistem ini berjalan lancar dan telus bagi mengelak kekeliruan yang akan timbul pada masa hadapan,’’ kata Ketua Pengarah Kastam, Dato’ Sri Khazali bin Haji Ahmad.

Sementara itu, pengenaan GST atas tambah nilai prabayar akan diteruskan pada kaedah sedia ada sehingga sistem ‘beli RM10 dapat RM10’ dilaksanakan.

 PDF

Share this article
Follow