Media & Events

MCMC Keluarkan Garis Panduan Keselamatan Umum Pokemon Go

10 Aug 2016
CYBERJAYA, 10 Ogos 2016 --- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengeluarkan satu garis panduan keselamatan umum kepada orang ramai berkaitan permainan Pokemon Go sambil menggesa mereka yang bermain permainan itu untuk sentiasa peka dengan keselamatan sekeliling dan sensiviti masyarakat setempat.
Dalam satu kenyataan, MCMC memaklumkan, keputusan mengeluarkan garis panduan keselamatan umum itu juga bertujuan untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini seperti rompakan, kecurian ataupun kecederaan.

Menurutnya, pengeluaran garis panduan keselamatan umum itu dibuat selepas timbulnya kebimbangan oleh pelbagai pihak dan berlakunya beberapa insiden tidak diingini gara-gara bermain aplikasi permainan berasaskan realiti tambahan (augmented reality) itu yang kini sudah melanda ke lebih 70 buah negara di seluruh dunia. Langkah tersebut juga seiring dengan panduan keselamatan yang telah dikeluarkan oleh beberapa buah negara lain untuk permainan berkenaan.
Garis panduan keselamatan Pokemon Go yang dikeluarkan mengandungi beberapa panduan atau tip-tip kepada pemain antaranya mengenai kepentingan melindungi maklumat peribadi mereka, menghormati sensitiviti tempat-tempat beribadat, peringatan untuk tidak memasuki ke kawasan-kawasan larangan yang merbahaya dan kewaspadaan terhadap individu yang tidak dikenali.

Turut ditekankan dalam garis panduan keselamatan itu ialah keperluan untuk pemain untuk berwaspada dengan penipuan yang boleh berlaku baik secara dalam talian mahupun di luar talian. Ini kerana, sebarang penggunaan aplikasi untuk memuatnaik permainan Pokemon Go mungkin mendedahkan para pemain kepada serangan penggodam atau malware.
 
“Dalam hal ini, MCMC ingin menegaskan, pilihan untuk bermain Pokemon Go terletak di tangan para pemain itu sendiri. Namun, semua pemain haruslah sentiasa peka dengan keadaan di sekeliling mereka,”jelasnya.
Mereka yang mempunyai sebarang persoalan atau kebimbangan mengenai aspek keselamatan, dan sensitiviti Pokemon Go boleh menghubungi secara terus pihak yang membangunkan permainan itu iaitu Niantic Inc yang berpangkalan di San Francisco, Amerika Syarikat melalui laman sesawang mereka, http://www.nianticlabs.com .

Bagi mereka yang ingin melaporkan isu melibatkan PokeStop atau Gym pula, laporan boleh dibuat ke alamat laman sesawang berikut:-https://support.pokemongo.nianticlabs.com/hc/en-us/articles/221968408-Reporting-PokeStop-or-Gym-Issues
Share this article
Follow