Media & Events

Pentadbir Laman Lucah Akhirnya Tumpas

24 Jun 2015
CYBERJAYA, 23 JUN 2015 -  Seorang lelaki telah mengaku bersalah di atas pertuduhan menggunakan laman blog sebagai medium untuk memberikan kandungan yang bersifat lucah. Pertuduhan terhadap Baderol Sham bin Muhamad, 37, telah dilakukan di Mahkamah Sesyen (4) Alor Setar, Kedah pada 21 Jun.

Baderol Sham yang mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan yang dibacakan oleh hakim, Wan Rusita binti Md Lazim. Mahkamah telah menjatuhkan hukuman denda RM4,000.00 dan sekiranya gagal membayar denda akan dikenakan 6 bulan penjara bagi kesalahan pertama di bawah Seksyen 211 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998. Manakala bagi kesalahan kedua di bawah Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan, dia telah dijatuhkan hukuman denda RM1,000.00 dan penjara (1) satu hari. Dia telah dibawa ke Penjara Pokok Sena, Kedah untuk pelaksanakan hukuman tersebut.

Pesalah telah mengemukakan rayuan secara lisan dan memohon Mahkamah untuk menjatuhkan hukuman yang paling minimum kerana dia hanya bekerja sendiri dengan berpendapatan RM1,000.00 sebulan. Selain itu, dia juga telah insaf dengan perbuatannya.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menjalankan siasatan mengenai kes ini berdasarkan aduan yang diterima oleh Biro Aduan MCMC. Berdasarkan siasatan yang telah dijalankan, kandungan lucah di dalam blog tersebut telah dimuat naik oleh pemilik akaun “Putera Katok” yang dimiliki oleh Baderol Sham. Mahkamah telah mengarahkan barang kes diserahkan kepada MCMC untuk dilupuskan di bawah Seksyen 260 (2) AKM 1998.

Menggunakan laman blog bagi tujuan memberi kandungan yang bersifat lucah dengan niat untuk mengganggu mana-mana orang merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 211 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Jika sabit kesalahan, denda tidak melebihi RM50,000 atau hukuman penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya. 


 PDF

Share this article
Follow