Media & Events

Pusat Internet 1Malaysia Kampong Bharu Dilancarkan

23 Apr 2016

KUALA LUMPUR, 23 April 2016 --- Masyarakat setempat di kawasan Kampong Bharu, kini berpeluang menikmati kemudahan internet jalur lebar secara kolektif melalui Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) yang diwujudkan di Kampong Bharu, di bawah inisiatif Pemberian Perkhidmatan Sejagat, yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Majlis Perasmian PI1M Kampong Bharu tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abd Ghani dan disaksikan oleh Ketua Wilayah Tengah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Zahari Ismail. Turut hadir adalah Pengerusi Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) Datuk Affendi Zahari, dan juga wakil-wakil dari MCMC, jabatan kerajaan, syarikat perkhidmatan komunikasi, Pengerusi JKKK dan komuniti setempat.

Kemudahan PI1M memberi peluang kepada komuniti setempat untuk mempelajari teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) dengan lebih mendalam melalui bengkel dan latihan yang disediakan, selain dapat menggunakan kemudahan internet jalur lebar dalam melaksanakan pelbagai urusan seharian mereka.

Golongan pelajar berumur 20 tahun ke bawah atau mempunyai kad pelajar universiti, warga emas berusia 60 tahun ke atas dan orang kurang upaya (OKU) layak menikmati kemudahan percuma di PI1M berkuatkuasa 1 April lalu.

Mulai tahun 2013, pelaksanaan Pusat Internet telah diperluaskan ke kawasan bandar dengan tumpuan di kawasan-kawasan penduduk yang berpendapatan rendah iaitu di Projek Perumahan Rakyat. Sebagai fasa rintis, Pusat Internet di PPR Seri Pantai telah dibina dan mula beroperasi pada bulan Mac 2013. Sehingga akhir bulan Mac yang lalu, sebanyak 19 PI1M di PPR telah beroperasi di sekitar Kuala Lumpur.

TAMAT

Share this article
Follow