Media & Events

Sumbangan Melalui SMS Kepada Mangsa Gempa Bumi Sabah Melebihi RM150,000 Dalam Masa Empat Hari

12 Jun 2015
CYBERJAYA, 12 JUN 2015 - Lebih daripada RM150,000 telah disumbangkan menerusi Khidmat Pesanan Ringkas kepada Tabung Kemanusiaan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (TKKMM) bagi membantu mangsa-mangsa gempa bumi di Sabah, sejak tabung berkenaan dilancarkan pada Isnin, 8 Jun 2015 yang lalu.

Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Dato’ Sri Dr. Halim Shafie berkata, kejayaan mengutip sumbangan mencecah lebih daripada RM150,000 dalam tempoh yang begitu singkat sekali lagi membuktikan keprihatinan dan sifat pemurah rakyat Malaysia dalam membantu golongan yang memerlukan.

Jelasnya, sumbangan yang dihulurkan itu bukan sahaja akan dapat meringankan beban serta penderitaan yang ditanggung oleh mangsa-mangsa gempa bumi serta ahli keluarga mereka, bahkan boleh membantu malim-malim gunung yang turut terkesan oleh bencana ini.

“Tugas sebagai malim gunung sungguh mencabar dan memerlukan perlindungan insurans sewajarnya untuk menghadapi bencana atau berlakunya perkara-perkara yang tidak dijangka. Justeru, berkemungkinan sebahagian daripada hasil sumbangan derma ini seperti yang dicadangkan oleh Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek baru-baru ini, boleh digunakan untuk tujuan tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Dr. Halim turut memperingatkan bahawa kaedah untuk menghulurkan derma kepada tabung ini adalah cukup mudah. Ini kerana mereka yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian dengan hanya menaip GEMPA <jarak> <amaun yang ingin diderma tanpa perlu menaip ‘RM’>, contohnya 1/3/5/10/15/20/30/40/50> dan hantarkan kepada 13999 daripada telefon bimbit masing-masing.

TKKMM yang dikelolakan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), MCMC dan syarikat-syarikat telekomunikasi mula diaktifkan sejak 8 Jun lalu dan akan berterusan sehingga 7 Julai depan.

 PDF

Share this article
Follow