Media & Events

TKKMM Reactivated To Help Quake Victims In Sabah

08 Jun 2015
CYBERJAYA, 8 JUN 2015 - Tabung Kemanusiaan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (TKKMM) telah diaktifkan semula hari ini, kali ini bagi membantu mangsa-mangsa gempa bumi di Sabah.

TKKMM yang dikelolakan bersama oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta syarikat-syarikat telekomunikasi akan bermula hari ini, 8 Jun sehingga 8 Julai depan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek berkata, keputusan untuk mengaktifkan semula TKKMM ialah bagi meringankan beban dan penderitaan yang dialami oleh para penduduk khasnya mereka di kawasan yang terjejas teruk akibat gempa bumi berkenaan.

“Kami berharap sifat pemurah dalam kalangan rakyat Malaysia yang pernah ditunjukkan dalam kempen TKKMM membantu mangsa taufan Haiyan, Gaza dan mangsa banjir di Pantai Timur, akan dapat dibuktikan sekali lagi menerusi kempen ini. Sesungguhnya, sumbangan rakyat Malaysia walau sekecil mana sekalipun amat bermakna untuk mangsa-mangsa dan keluarga mereka selari dengan tema #sehatisejiwa sambutan Hari Kebangsaan tahun ini,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi MCMC Dato' Sri Dr. Halim Shafie turut melahirkan harapan agar rakyat Malaysia akan keluar dan tampil memberikan sumbangan sebagai tanda solidariti dengan mangsa-mangsa gempa bumi yang memerlukan bantuan.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyumbang RM1, RM3, RM5, RM10, RM15, RM20, RM30, RM40 atau RM50 dengan menaip GEMPA <jarak> <1/3/5/10/15/20/30/40/50> dan hantarkan kepada 13999 dari telefon bimbit masing-masing.

Setiap nilai derma yang diterima, akan disalurkan sepenuhnya kepada tabung berkenaan tanpa potongan tambahan daripada amaun yang diterima. Sumbangan yang diterima menerusi TKKMM ini akan digunakan bagi membantu mangsa-mangsa gempa selain proses pembinaan semula infrastruktur di kawasan gempa.

Gempa bumi berukuran 6.0 pada skala Richter yang menggegarkan Sabah pada 5 Jun lalu, setakat ini telah meragut sekurang-kurangnya 18 nyawa.

 PDF

Share this article
Follow