Media & Events

Pengendali komunikasi perlu lesen khidmat

04 Aug 2000, Utusan Malaysia
Kira-kira 150 pemegang lesen individu, khususnya syarikat kecil, yang mengendalikan perkhidmatan telekomunikasi dan multimedia dinasihatkan mendapat Lesen Kelas Perkhidmatan Aplikasi yang berkuat kuasa hari ini. Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKM), Dr. Syed Hussein Mohamed berkata, pengeluaran lesen itu bertujuan untuk mengurangkan kawal selia dalam industri komunikasi dan multimedia. ''Peraturan yang mudah ini adalah untuk menggalakkan lebih ramai peserta memasuki pasaran dan untuk menggalakkan persaingan dalam industri komunikasi dan multimedia,'' katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini. Kini terdapat kira-kira 250 pemegang lesen individu merangkumi 150 syarikat yang menjalankan perkhidmatan telekomunikasi dan multimedia di negara ini. Menurut Syed Hussein, lesen itu adalah bagi syarikat yang menawarkan perkhidmatan perumah teks audio, direktori, capaian Internet, pesanan, telefon berbayar persendirian dan telegram. Jelasnya, syarikat telekomunikasi dan penyiaran besar seperti Telekom Malaysia Bhd. dan Sistem Televisyen Malaysia Bhd. dijangka mengekalkan lesen individu. Tambah beliau, pengenalan lesen itu juga akan memberi manfaat kepada syarikat kecil kerana bayaran yang dikenakan untuk mendapatkan lesen itu adalah jauh lebih kecil iaitu RM2,500 berbanding bayaran lesen individu yang dikenakan menerusi peratusan tertentu sehingga kadar maksimum RM25,000. Syed Hussein berkata, syarikat terbabit hanya perlu berdaftar kepada SKM dengan mengemukakan notis pendaftaran bagi mendapatkan lesen itu. Menurutnya, lesen tersebut sah bagi tempoh setahun dan boleh diperbaharui setiap tahun. Bagi memudahkan pendaftaran, notis pendaftaran dan peraturan pendaftaran boleh diperoleh menerusi laman web SKM di alamat www.cmc.gov.my. Mereka yang ingin mendapatkan keterangan lanjut boleh menghubungi bahagian perlesenan SKM di talian 03-2942121.
Share this article
Follow