PROGRAM Advokasi dan Jangkauan untuk Kampung Orang Asli Negeri Sembilan dilaksanakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah dinobatkan sebagai juara Anugerah World Summit On The Information Society Prizes 2024 (WSIS 2024).
MCMC dalam kenyataan memberitahu, program berkenaan merupakan inisiatif bersama Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Negeri Sembilan, Jabatan Penyiaran dan Jabatan Penerangan Negeri Sembilan.
Menurut MCMC, anugerah tersebut dimenangi bagi lima Action Lines Kategori 5 iaitu ‘Membina Keyakinan dan Keselamatan dalam Penggunaan Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT).
“Kejayaan inisiatif MCMC meraih Anugerah WSIS ini membuktikan pengiktirafan masyarakat antarabangsa terhadap projek yang telah dibangunkan oleh MCMC.
“Ia memperkasa keterangkuman digital dalam kalangan masyarakat Orang Asli melalui penyediaan akses ICT serta keselamatan dan literasi digital,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, MCMC memberitahu, Program Advokasi dan Jangkauan untuk Kampung Orang Asli Negeri Sembilan itu telah pun bermula sejak tahun lalu.
Katanya, program berkenaan memberi tumpuan kepada golongan sasar iaitu kanak-kanak, remaja dan ibu bapa dalam kalangan masyarakat Orang Asli terhadap amalan terbaik melayari internet.
MCMC menjelaskan, WSIS Prizes merupakan satu pertandingan antarabangsa yang dibangunkan bagi menilai dan mengiktiraf projek cemerlang dalam melaksanakan strategi berorientasikan pembangunan yang memanfaatkan ICT sebagai pemangkin kepada pembangunan.
“WSIS Prizes juga merupakan satu platform untuk mengenal pasti dan mempamerkan kisah-kisah kejayaan serta suri teladan yang boleh dicontohi untuk menghargai usaha pihak-pihak berkepentingan atas komitmen mereka dan nilai tambah yang diberikan kepada masyarakat ke arah mencapai matlamat WSIS.
“Anugerah WSIS akan disampaikan pada Majlis Anugerah WSIS Prizes 2024 yang akan dianjurkan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) di Geneva, Switzerland pada 30 Mei depan,” katanya.