Mengenai Kami

YBhg. Tan Sri Razarudin Bin Husain @ Abd Rasid

 
Anggota Suruhanjaya

YBhg. Tan Sri Razarudin Bin Husain @ Abd Rasid (“Tan Sri Razarudin”) telah dilantik sebagai Anggota Suruhanjaya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkuat kuasa 1 Ogos 2025 bagi tempoh dua (2) tahun.

Beliau membawa pengalaman lebih daripada empat dekad dalam perkhidmatan keselamatan negara dan penguatkuasaan undang-undang, sehinggalah kepada pelantikan beliau sebagai Ketua Polis Negara ke-14 dari tahun 2023 hingga 2025. Kerjaya kepolisan beliau bermula pada tahun 1982 sebagai Inspektor Percubaan dan seterusnya ke pelbagai jawatan kepimpinan di beberapa negeri termasuk Kedah, Johor, Sabah dan Perak. Penempatan beliau merangkumi siasatan jenayah, penguatkuasaan narkotik dan operasi khas.
 
Sepanjang tempoh perkhidmatan sebagai Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin mengetengahkan agenda pembaharuan institusi yang signifikan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan penekanan kepada pembangunan modal insan, kerjasama antarabangsa dan keselamatan sempadan. Beliau turut memainkan peranan penting dalam meningkatkan taraf pendidikan kepolisan serta memacu kerjasama strategik dengan agensi penguatkuasaan antarabangsa, termasuk di Australia dan China. Buat pertama kali dalam sejarah, di bawah kepimpinan beliau, PDRM bersama Kementerian Dalam Negeri telah menganjurkan Sidang Kemuncak dan Ekspo Keselamatan Antarabangsa Asia 2025 (AISSE’25), sekali gus memperkukuh peranan Malaysia dalam kerjasama keselamatan serantau. Atas kecemerlangan dan dedikasi beliau dalam membanteras jenayah berkaitan dadah, beliau turut menerima pengiktirafan daripada dunia akademik dengan pelantikan sebagai Profesor Adjung di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkuat kuasa 13 Disember 2024.
 
Dengan kepakaran yang mendalam dalam penguatkuasaan dan perlindungan awam, kehadiran Tan Sri Razarudin dalam Suruhanjaya memperkukuh keupayaan MCMC untuk menangani landskap komunikasi dan digital yang berkembang pesat. Pengalaman luas beliau memberi nilai tambah yang besar dalam fungsi pengawasan MCMC terhadap pengawalseliaan kandungan dalam talian, memperkukuh perlindungan pengguna dalam komunikasi digital, serta menjamin keselamatan siber negara dalam persekitaran yang semakin kompleks dan saling berhubung.
Tan Sri Razarudin memiliki Diploma Sains Siasatan daripada Maktab PDRM dan Ijazah Sarjana Sains Sosial dalam Pengajian Kepolisan dari Universiti Kebangsaan Malaysia, di mana beliau menamatkan pengajian sebagai pelajar terbaik dalam kohortnya.
 
Follow