YBrs. Puan Siti Fatimah binti Husin
Anggota Suruhanjaya
YBrs. Puan Siti Fatimah binti Husin (“Puan Siti Fatimah”) telah dilantik sebagai Anggota Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkuat kuasa mulai 26 Mac 2026 bagi tempoh dua (2) tahun.
Puan Siti Fatimah kini berkhidmat sebagai Setiausaha Bahagian di Bahagian Pengurusan Strategik Badan Berkanun, Kementerian Kewangan Malaysia. Beliau memiliki Ijazah Sarjana Dasar Awam dari Universiti Meiji, Jepun, dan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Awam dari Universiti Sains Malaysia, yang memberikan asas kukuh dalam bidang tadbir urus dan pengurusan sektor awam.
Sepanjang kerjayanya, Puan Siti Fatimah telah memegang jawatan di Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dan Kementerian Pendidikan. Bidang kepakaran profesional beliau merangkumi perancangan strategik, tadbir urus sektor awam, penilaian keberhasilan (outcome‑based) program dan projek, serta pengurusan dan pemantauan Badan Berkanun Persekutuan. Beliau juga terlibat secara langsung dalam pembangunan dan semakan garis panduan serta pekeliling utama negara, di samping berperanan sebagai pakar teknikal penilaian keberhasilan bagi program/projek Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
Selain peranan eksekutif, Puan Siti Fatimah turut berkhidmat sebagai ahli lembaga pengarah, jawatankuasa audit dan pasukan petugas dalam inisiatif reformasi tadbir urus dan mekanisme perancangan antara agensi. Beliau membawa pengetahuan institusi, tadbir urus serta pengalaman kepimpinan di peringkat kementerian dan agensi pusat.