SEBUAH menara komunikasi yang berada di Kampung Gasak Chini, Pekan, Pahang dikesan mengalami kerosakan akibat perbuatan vandalisme.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan memaklumkan, hasil tinjauan mendapati kerosakan tersebut melibatkan peralatan elektronik yang tidak boleh digunakan semula.
Menurut MCMC, peralatan itu terpaksa diganti baharu tertakluk kepada stok yang tersedia.
Akibat kerosakan berkenaan, suruhanjaya itu memberitahu, perkhidmatan telekomunikasi seperti Celcom, Digi dan Maxis telah mengalami gangguan liputan perkhidmatan 4G.
"Ini memandangkan menara di Kampung Gasak Chini merupakan menara collector dan Multi Operator Core Network (MOCN).
"Gangguan liputan ini turut memberi kesan kepada lapan lagi menara lain yang dirangkaikan melalui menara ini.
"Lapan lokasi yang mengalami gangguan komunikasi itu adalah Pekan Chini; Chini Kampung Gemapai; Ramo Chini 3; Felda Chini Timur 1, Felda Chini 5; Chini Plantation dan Chini Timur 2,"katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, MCMC memaklumkan kerja-kerja baik pulih akan mengambil masa agak lama kerana kerosakan teruk kepada menara komunikasi tersebut.
"Usaha-usaha sedang giat dijalankan oleh pihak CelcomDigi yang mencari penyelesaian jangka pendek dan interim menerusi perkongsian bandwidth daripada gentian optik sedia ada di Pekan Chini.
"Oleh kerana bandwidth yang terhad, hanya beberapa menara sahaja yang dijangka dapat dipulihkan untuk perkhidmatan sementara selewat-lewatnya, esok,"katanya.